Sistem pembelajaran di setiap negara sangat berbeza dan setiap negara mempraktiskan cara pembelajaran dan pengajaran yang berbeza bagi menyesuaikan dengan masyarakat dan pelajar di negara tersebut. Sewaktu di sekolah rendah dahulu cara pembelajaran yang kita lalui ada yang mungkin berbeza selepas kita memasuki sekolah menengah tetapi ada kalanya tidak terlalu ketara perbezaannya.
Sekolah rendah merupakan waktu girang yang pernah kita alami kerana pada waktu itulah kita belajar mengenal rakan-rakan dan pada fasa tersebut juga merupakan saat di mana kita memulakan langkah mengenal pasti minat terhadap sesuatu yang diajarkan oleh guru-guru kita.
Kemudian, kita melangkah ke sekolah menengah di mana ia merupakan fasa kedua di dalam alam pembelajaran kita di mana kita mula mengorak langkah yang lebih luas untuk memenuhi aspek pengetahuan kita dan mula menyesuaikan diri dan mula mencari sesuatu rentak yang sehati dan sejiwa dengan diri kita. Di sini juga kita mula belajar untuk membuka minda dengan lebih luas dan mula belajar menerima sesuatu perkara yang baru dan berguna sebagai persiapan awal dalam mengorak langkah dan rentak di fasa seterusnya.
Setelah kita menguji kemampuan kita di fasa kedua, kita akan menaiki fasa ketiga di mana kita mula mendapat rentak yang diingini dan yang bisa dijadikan sebahagian daripada hidup dan matlamat dalam diri kita. Kita mula memilih jalan yang dapat membawa kita untuk menggapai impian kita agar kita bisa memenuhi keperluan ataupun kehendak hidup kita yang telah kita rancang semenjak di fasa kedua.
Sewaktu di fasa ketiga inilah kita mula berfikir secara lebih matang dan mula mengenali dan mempelajari lebih banyak perkara baru dan sanggup mengeksplorasi diri kita ke alam yang unik. Di fasa ketiga inilah tempat di mana kita mula memahami segala situasi yang telah dirancang sewaktu di fasa pertama tadi. Segala pembelajaran dari fasa pertama sehingga ketiga dijadikan bekalan bagi menjadikan kita seorang yang berjaya dalam setiap fasa yang telah ditempuhi dalam hidup.
Pengalaman saya sendiri sebagai seorang yang telah mengalami kesemua fasa ini dan pada masa yang sama sedang melalui fasa ketiga amat menakjubkan dan berlainan pengalaman yang saya tempuhi. Sebagai contoh, sewaktu di zaman persekolahan saya tidak mengetahui banyak perkara dan tahap pemikiran kreatif tidak terlalu pintar dan amat sempit dan tidak mampu membukanya dengan lebih luas. Tetapi, setelah memasuki kolej, saya sedar bahawa banyak lagi perkara yang harus saya pelajari dan tempuhi agar saya lebih bersedia menghadapi dunia yang lebih besar dan semakin mencabar ini.
Oleh itu, sekiranya seseorang itu mungkin pada suatu masa dahulu tidak pandai ataupun tergolong dalam golongan cerdik pandai sewaktu di sekolah, tidak semestinya dia tidak boleh berjaya di dalam hidupnya kerana kadangkala disebabkan pengalaman yang lebih luas yang ditempuhi oleh si dia yang tidak berapa pandai berbanding dari si cerdik pandai ini membolehkan dia mempunyai ilmu dunia yang lebih luas dari si cerdik pandai ini. Perkara yang paling penting adalah tidak sama sekali putus asa dan sentiasa berusaha dan sentiasa memaksa diri kita untuk lebih berjaya untuk masa hadapan yang lebih cerah.
No comments:
Post a Comment